Sistem Permohohan Kemasukan Ke Tingkatan 1 Sekolah Khusus (SBP/SMKA)
  • permohonan.skhusus@moe.gov.my

SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN AGAMA (SMKA)


Sejarah penubuhan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) bermula dengan pengambilalihan 11 buah Sekolah Agama Negeri dan Rakyat oleh Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 1977. SMKA telah berkembang kepada 61 buah SMKA pada tahun 2022.

Idea awal penubuhan SMKA diilhamkan oleh Pengarah Bahagian Agama Kementerian Pelajaran ketika itu, Allahyarham Tuan Haji Nik Mohammed Mohyideen bin Haji Wan Musa. Hal ini memang menjadi hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia dan hasrat masyarakat Islam yang sedar akan faedahnya. Sebelum ini berapa langkah telah diambil dengan memberi bantuan kepada sekolah-sekolah agama rakyat dan mencadangkan sekolah-sekolah itu mempraktikkan sistem baharu.

Penubuhan SMKA seiring dengan usaha Pemodenan Sistem Pendidikan Negara. Proses penambahbaikan sistem pendidikan Islam di sekolah-sekolah agama sesuai dengan perkembangan semasa. Justeru, ilham Allahyarham Haji Nik Mohyideen Bin Haji Wan Musa ini telah direalisasikan oleh Tan Sri Dato' Paduka Dr. Abdul Hamid bin Othman dan Dato' Zainal Abidin bin Haji Abdul Kadir.

Pada tahun 1970-an sekolah-sekolah menengah agama rakyat kurang mendapat sambutan kerana sistem pentadbirannya yang tidak teratur dan kurang prasarana. Pada masa yang sama, kesedaran masyarakat terhadap pendidikan semakin meningkat. Oleh itu Kementerian Pelajaran pada masa itu telah berunding dengan kerajaan-kerajaan negeri di Semenanjung Malaysia agar sistem pentadbiran dan kurikulum di sekolah-sekolah agama diselaraskan dengan sekolah menengah harian.

Kebanyakan sekolah agama sebelum ini menitikberatkan Pengajian Islam dan Bahasa Arab sahaja tanpa memberi perhatian kepada mata pelajaran yang lain seperti yang wujud di Sekolah Menengah Kebangsaan misalnya mata pelajaran Sains, Matematik, Geografi dan lain-lain. Fenomena ini berlaku kerana sekolah-sekolah agama tidak berkemampuan untuk menyediakan bilik-bilik makmal yang mahal harganya. Implikasinya lulusan sekolah agama kurang mampu bersaing dalam pasaran sumber tenaga manusia dan cabaran masyrakat semasa.

LOKASI
MATLAMAT SMKA

i. Mendidik murid dengan keperibadian Islam.

ii. Membekalkan ilmu yang memenuhi tuntutan duniawi dah ukhrawi.

iii. Memperkembangkan potensi murid dari segi minat, kreativiti, sahsiah dan kepimpinan.

iii. Memberi peluang kepada murid untuk melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang ilmu dalam dan luar negara.


OBJEKTIF SMKA

i. Mencapai kecemerlangan kurikulum dan ko-kurikulum.

ii. Melahirkan murid yang mengamalkan akhlak mulia.

iii. Membentuk generasi murid sebagai pemimpin yang boleh diteladani.

iv. Melahirkan murid yang mempunyai ketahan diri dalam menghadapi cabaran budaya yang bercanggah dengan nilai-nilai Islam.

v. Menyediakan murid yang dapat memberi sumbangan yang berkesan bagi memenuhi keperluan negara dan ummah.


SYARAT KEMASUKAN

SYARAT AM

i. Warganegara Malaysia

ii. Mendaftar dalam Modul Pengurusan Murid

iii. Murid Tahun Enam (6) Tahun 2022/2023 :
    * Berumur 12 tahun; atau
    * Lahir pada 2 Januari 2010 hingga 1 Januari 2011; dan

iv. Menduduki Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK)


SYARAT KHUSUS

i. Warganegara Malaysia beragama Islam

ii. Murid sekolah rendah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan di bawah KPM, Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR), Sekolah Rendah Agama Negeri (SRAN) dan Sekolah Swasta yang berdaftar dengan KPM atau Pihak Berkuasa Agama Negeri (PBAN)

iii. Mengambil kira komponen di bawah :
    * Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) - Kecerdasan insaniah, kecerdasan intelek dan penulisan artikulasi
    * Pentaksiran Bilik Darjah (PBD);
    * Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikulum (PAJSK); dan
    * Pentaksiran Psikometrik (PPsi)

iv. Keutamaan diberikan kepada murid yang memiliki Laporan Pencapaian Program j-QAF atau Sijil Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK)


SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN AGAMA (SMKA) TAHFIZ MODEL ULUL ALBAB (TMUA)

Berdasarkan Gelombang 1 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 - 2025, Kementerian Pelajaran Malaysia komited di dalam menyediakan pendidikan berkualiti tinggi bagi melengkapkan murid dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang relevan untuk berjaya di dalam pasaran kerja berteraskan nilai Islam yang kukuh. Pada 7 Disember 2013, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Malaysia, YAB Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin b. Haji Mohd Yassin telah mengumumkan Model Pendidikan Islam Ulul Albab diperluaskan pelaksanaannya ke seluruh negara mulai tahun 2014.

Idea yang dicetuskan oleh Menteri Pendidikan Malaysia II, Datuk Seri Idris b. Jusoh ini mula dilaksanakan secara rasminya di SMK Agama Kuala Lumpur bermula pada 16 Januari 2014 dengan pengambilan pertama seramai 150 orang pelajar dan 15 orang guru. Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA) merupakan gabungan antara Kurikulum Kebangsaan, Kurikulum Bersepada Tahfiz (KBT) dan Program Ulul Albab yang berasaskan pendekatan Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik.

Sehingga tahun 2022 TMUA telah berkembang pelaksanaannya kepada 11 buah sekolah di SMKA dan 4 buah sekolah di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) KPM.

LOKASI
HALA TUJU TMUA

TMUA (Tahfiz Model Ulul Albab) merupakan nilai tambah kepada sistem Pendidikan Agama yang dilaksanakan di sekolah-sekolah KPM. Murid-murid yang lahir dari sistem ini dijangka akan memenuhi keperluan guna tenaga profesional yang hafiz serta mempunyai pegangan agama yang kukuh.


OBJEKTIF TMUA

TMUA dilaksanakan bagi mencapai objektif melahirkan modal insan yang ;
      * Menghafaz 30 juzuk al-Quran
      * Profesional yang mempunyai asas keagamaan yang mantap berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah
      * Berketerampilan, berwibawa dan berkepemimpinan
      * Mengoptimumkan keupayaan berfikir aras tinggi, kreatif dan inovatif; dan
      * Boleh menjalin hubungan dengan Allah s.w.t, sesama manusia dan melestarikan diri dengan kejadian alam berdasarkan kepada al-Quran dan al-Sunnah



PENDEKATAN TMUA

Pendekatan terbahagi kepada tiga aspek iaitu Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik:
      * Pendekatan Quranik - Murid menghafaz 30 juzuk al-Quran serta memahami kandungan berdasarkan konsep Baca, Ingat, Faham, Fikir, Amal dan Sebar (BIFFAS). Murid akan mempelajari serta mengikuti mata pembelajaran Hifz al-Quran dan Maharat al-Quran.
      * Pendekatan Ensiklopedik - Menyediakan kaedah asas kepada murid untuk menguasai pelbagai disiplin ilmu dan bahasa, berkemahiran tinggi dan mampu bertindak sebagai pakar rujuk pada masa akana datang.
      * Pendekatan Ijtihadik - Menyediakan murid yang berupaya memberikan pandangan dalam menyelesaikan masalah, memaksimumkan keupayaan berfikir aras tinggi, kreatif dan inovatif. Pendekatan ketiga-tiga elemen akan dilaksanakan secara bersepadu melalui pengintegrasian antara kurikulum dan ko-kurikulum.


SYARAT KEMASUKAN

SYARAT AM

i. Warganegara Malaysia

ii. Mendaftar dalam Modul Pengurusan Murid

iii. Murid Tahun Enam (6) Tahun 2022/2023 :
    * Berumur 12 tahun; atau
    * Lahir pada 2 Januari 2010 hingga 1 Januari 2011; dan

iv. Menduduki Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK)


SYARAT KHAS

i. Warganegara Malaysia beragama Islam

ii. Murid sekolah rendah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan di bawah KPM, Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR), Sekolah Rendah Agama Negeri (SRAN) dan Sekolah Swasta yang berdaftar dengan KPM atau Pihak Berkuasa Agama Negeri (PBAN)

iii. Mengambil kira komponen di bawah :
    * Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) - Kecerdasan insaniah, kecerdasan intelek dan penulisan artikulasi
    * Pentaksiran Bilik Darjah (PBD);
    * Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikulum (PAJSK); dan
    * Pentaksiran Psikometrik (PPsi)

iv. Keutamaan diberikan kepada murid yang memiliki Laporan Pencapaian Program j-QAF atau Sijil Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK)

v. Menduduki Ujian Kelayakan Tahfiz (UKT) dan lulus dengan cemerlang


Sistem Permohohan Kemasukan Ke Tingkatan 1 Sekolah Khusus (SBP/SMKA)
Penafian

Pengguna Web bertanggungjawab untuk merahsiakan pengenalan identiti pengguna masing-masing. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak bertanggungjawab kepada sebarang masalah yang timbul akibat pencerobohan pengenalan identiti pengguna dan kecuaian disebabkan oleh pihak pengguna serta pengguna aplikasi bertanggungjawab sepenuhnya terhadap ketepatan dan kesahihan maklumat yang ditambah atau dikemaskini oleh pengguna dalam aplikasi ini.